PERGERAKAN JISIM
Pergerakan jisim bermaksud proses pergerakan litupan bahan tempat asal berupa bahan regolith yang mengalami pergerakan ke bawah cerun secara besar-besaran disebabkan oleh pengaruh tarikan graviti dan tanpa bantuan mana-mana agen hakisan seperti air mengalir, ombak atau angin. Pergerakan jisim biasanya berlaku di kawasan cerun bukit.
AKTIVIT MANUSIA
1. Pertanian
Apabila manusia meneroka cerun bukit untuk kegiatan pertanian, kawasan hutan terpaksa ditebang. Keadaan ini menyebabkan permukaan cerun menjadi gondol. Ketiadaan cengkaman akar pokok akan menyebabkan struktur tanih menjadi longgar. Ini menyebabkan struktur tanih permukaan cerun meresap lebih banyak air dan menjadikan struktur tanih tidak kukuh dan mudah runtuh. Penggunaan jentera pembajak juga akan merosakkan struktur dan menjadikan ia longgar dan lebih mudah bergerak ke bawah cerun.
2. Perlombongan
Dalam aktiviti perlombongan kawasan bukit juga banyak mengandungi sumber mineral berharga seperti bijih timah, tembaga, emas dan lain-lain. Keadaan ini menyebabkan kawasan cerun bukit menjadi tumpuan aktiviti tersebut. Contohnya penggunaan pancutan air pam hidrolik dalam aktiviti perlombongan bijih timah akan menyebabkan berlaku gelongsoran tanih. Begitu juga dalam aktiviti pecah batu dan kuari di kawasan cerun bukit untuk mendapatkan batuan granit dan marmar. Bahan letupan digunakan untuk memecahkan batuan di cerun. Letupan ini menyebabkan struktur tanih dan batuan di sekitarnya longgar dan mudah runtuh.
3. Pembinaan bangunan dan petempatan
Dalam kegiatan pembinaan bangunan atau petempatan di cerun, cerucuk konkrit akan ditanam dan ini akan menyebabkan air meresap ke dalam tanih dengan lebih mudah. Keadaan ini akan melemahkan struktur tanih apabila terlalu banyak digenangi air. Berat beban bangunan yang dibina mungkin tidak mampu ditampung oleh tanih cerun yang akhirnya menyebabkan tanih mengalami kesotan secara perlahan-lahan atau runtuh secara tiba-tiba. Contohnya, tragedi runtuhan kondominium Highland Towers di Hulu Kelang.
4. Pembinaan tembok konkrit
Pembinaan tembok konkrit di cerun dapat menggantikan rumput atau tumbuh-tumbuhan dan menyebabkan aliran air dalam tanih berkumpul di belakang tembok. Keadaan ini akan menjadikan struktur tanih di cerun tidak stabil dan mudah runtuh.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PROSES-PROSES PERGERAKAN JISIM
1. Menanam tumbuhan
Permukaan bumi terutama di lereng-lereng bukit dan gunung yang sedang atau telah berlaku kegiatan manusia seharusnya diliputi dengan penanaman pokok atau rumput. Litupan bumi ini dapat mencengkam tanah melalui akar-akarnya. Lagipun tanah kurang terdedah kepada tindakan air hujan.
2. Teres
Kawasan-kawasan pertanian di permukaan bumi yang bercerun curam seharusnya diteres mengikut kaedah garis kontor. Tindakan ini bukan sahaja mengurangkan kecerunan lereng-lereng bukit bahkan mengurangkan daya graviti terhadap lapisan tanah di sesuatu bukit atau tanah tinggi. Teres juga mengurangkan air larian permukaan yang juga boleh mempengaruhi pergerakan jisim.
3. Penyimenan
Satu lagi kaedah yang penting dan sering digunakan untuk mengurangkan proses-proses pergerakan jisim ialah dengan penyimenan ke atas permukaan lereng-lereng cerun yang curam. Kaedah ini sangat berkesan di kawasan permukaan yang berbatu. Proses penyimenan ini dapat mengurangkan kemasukan air ke dalam secara proses infiltrasi. Kadar penyusupan air yang terhalang ini dapat mengurangkan lapisan atas lereng-lereng bukit menjadi berat dan bergerak ke bahagian bawah.
4. Tembok
Pergerakan jisim juga boleh diatasi dengan cara membina suatu tembok konkrik atau batu merentasi cerun sesuatu bukit yang dijangkakan boleh berlaku pergerakan jisim. Kaedah ini sangat sesuai mengatasi pergerakan jisim jenis kesotan tanah dan tanah runtuh di lereng-lereng bukit yang tidak begitu curam.
5. Sistem perparitan
Kaedah ini sering kali digunakan di lereng-lereng bukit yang tinggi terutama di beberapa tempat di lebuh raya Utara Selatan. Sistem perparitan ini dibina di setiap teres di sesuatu lereng bukit yang curam mengikut garis kontornya. Parit-parit atau beberapa saliran dibina ke bawah bukit melalui tangga-tangga batu. Air hujan yang turun di permukaan rata di setiap teres akan mengalir masuk ke dalam sistem perparitan dan kemudian mengalir melalui tangga ke bahagian bawah sesuatu cerun. Kaedah ini dapat mengatasi masalah air yang bertakung dan menyusup masuk ke dalam permukaan bumi lalu memberatkan lapisan tanah. Permukaan tanah yang berat boleh bergerak ke bawah.
6. Lapisan plastik
Fenomena pergerakan jisim di lereng-lereng bukit yang curam boleh dikurangkan dengan meletakkan satu lapisan plastik di permukaan atas cerun. Lapisan plastik dapat menghalang penyusupan air ke dalam lapisan bawah. Fenomena pemasangan plastik sering kali dapat kita perhatikan di beberapa tempat di Lebuh Raya Utara Selatan.
No comments:
Post a Comment