Saturday, January 29, 2011

Interaksi antara sistem persekitaran bumi



Sistem merupakan satu set himpunan objek atau angkubah yang berada dalam satu sempadan. Sistem bumi mempunyai interaksi dan saling berkaitan diantara satu dengan yang lain. Ciri-ciri sistem ialah seperti bermatlamat untuk mencapai keseimbangan dimana angkubah-angkubah yang mengalami gangguan akan bertindak mencari keseimbangan yang baru. Sistem juga mempunyai sempadan dan fungsi yang tersendiri. Sistem bumi yang utama terbahagi kepada emapat komponen atau angkubah iaitu sistem atmosfera, sistem hidrosfera, sistem biosfera dan sistem litosfera. Keempat-empat subsistem bumi ini mempunyai pertalian kerana saling berinteraksi diantara satu dengan yang lain.
Interaksi diantara keempat-empat sistem ini boleh dilihat melalui proses kitaran hidrologi. Kitaran hidrologi merupakan fasa-fasa pertukaran air dalam pelbagai bentuk seperti cecair, gas dan pepejal yang melalui pelbagai ruang di bumi secara berterusan. Ia meliputi pelbagai proses fizikal dan simpanan. Dalam sistem hidrologi ini, tiada terdapat titik permulaan dan tiada penamat yang mutlak. Ia merujuk kepada sistem edaran air yang melibatkan pelbagai storan dan laluan untuk air itu berputar dan bertukar dari satu bentuk kepada bentuk yang lain (Rusly Musa & Nurashikin Abdullah. 2007).
Dalam kitaran hidrologi, air akan tersejat ke dalam atmosfera dari lautan, lalu membentuk wap-wap air yang akan berkumpul menjadi awan. Wap-wap (awan) ini akan dialirkan secara melintang oleh angin ke bahagian daratan. Wap-wap air ini apabila mencapai ke peringkat tepu, ia kemudiannya akan turun sebagai kerpasan sama ada dalam bentuk hujan, embun, salji, dan sebagainya. Di bahagian darat, kerpasan ini pula akan dialirkan dalam pelbagai cara seperti melalui larian permukaan atau dialir oleh oleh sistem sungai ke laut selepas dipintas oleh tumbuhan. Kerpasan yang jatuh ke permukaan bumi sangat penting untuk membantu proses tumbesaran tumbuh-tumbuhan serta amat penting kepada komponen biotik dan abiotik. Sebahagian daripada kerpasan itu juga akan menyusup masuk ke dalam tanah dan mengalir sebagai air bawah tanah yang juga menuju ke laut yang akan disejat semula. Pusingan ini melengkapkan edaran air atmosfera dan edaran air tanah dan disebut sebagai edaran hidrologi.
Dalam kitaran hidrologi, semua sistem akan turut terlibat. Contohnya, proses sejatan yang berlaku di kawasan permukaan air seterusnya diikuti oleh pemeluwapan dan kerpasan yang berlaku dalam sistem atmosfera. Proses pintasan/cegatan silara dari tumbuh-tumbuhan pula berlaku dalam sistem ekologi (biosfera). Air larian permukaan dan aliran sub permukaan berlaku dalam sistem geomorfologi. Akhirnya proses rembesan, aliran bawah tanah, akuifer yang membekalkan air kepada sungai, tasik dan lain-lain berlaku dalam sistem hidrologi.
Interaksi sistem hidrologi ini dengan sistem-sistem yang lain akan menghasilkan pelbagai proses dan tindakbalas. Antara tindakbalas hidrologi dengan sistem lain seperti sistem litosfera akan menghasilkan pelbagai proses dan kejadian ataupun tindakbalasnya seperti proses pergerakan dan hakisan air, lembapan tanih dan juga gerakan jisim yang berlaku dalam sesebuah lembangan saliran. Hubungan antara pergerakan air dan juga hakisannya adalah berkadar secara langsung. Pergerakan air yang laju, deras dan tinggi tanpa dipengaruhi faktor lain akan menyebabkan kadar hakisan adalah tinggi. Jika pergerakan air perlahan maka, kadar hakisan juga adalah perlahan dan rendah. Walau bagaimanapun, kadar hakisan air tidak dipengaruhi oleh pergerakan air semata-mata tetapi terdapat juga faktor lain seperti ciri permukaan tanih, tumbuhan litupan permukaan dan juga kecerunan dan ketinggian. Pergerakan dan hakisan air ini merupakan proses yang berlaku secara fizikal samaada di permukaan cerun dan juga di dalam alur sungai. Proses hidrologi juga memberi kesan kepada lembapan tanih dan juga proses gerakan jisim. Lembapan tanih ialah satu peratus kebasahan atau kelembapan sesuatu tanih. Ia sangat dipengaruhi oleh air. Jumlah air yang tinggi dalam sesuatu tanih akan menyebabkan tanih tersebut lembab dan basah. Manakala kandungan air dalam tanih yang kurang akan mengurangkan kelembapan tanih.
Secara kesimpulannya, semua sistem di muka bumi ini saling bertindak balas dan juga berinteraksi diantara satu dengan yang lain bagi mencapai tahap keseimbangan.


Friday, October 22, 2010

Cinta, Kasih, Sayang dan Hati......


CINTA :



(sebelum kahwin)
C = cubit kiri, kanan rasa.
I = impian indah ibarat syurga.
N = nikah impian utama.
T = taat setia membawa bahagia.
A = awal dan akhir bersama-sama


(selepas kahwin)
C = cuka yang dituang pada luka.
I = iblis yang merosak minda.
N = nafsu semata-mata.
T = tuba yang dibalas semula.
A = api dalam neraka.

KASIH :

(sebelum kahwin)
K = kongsi semua suka duka.
A = abang adik, ayang anja.
S = sumpah janji di bibir sentiasa.
I = istana bahagia dah dicipta.
H = hatiku hatimu jua.

(selepas kahwin)
K = kaki tangan naik kat kepala.
A = abuk pun tara, nak makan apa??
S = simpati langsung tak ada.
I = ironi membakar jiwa.
H = hidup mati sama je.

SAYANG :

(sebelum kahwin)
S = sikit-sikit SORRY, sikit-sikit SORRY, mengada!
A = asal free mesti nak jumpa.
Y = you lap me, I lap you!
A = apa saja sanggup diduga.
N = nak itu, nak ini… mesti dapat.
G = gula-gula, coklat, teddy bear hadiah utama.

(selepas kahwin)
S = salah sikit kiamat dunia.
A = air tak sedap, basahlah mata.
Y = yang betul dia je.
A = ada takde, bagi anak reti la.
N = nak dilawan, digelar derhaka.
G = gaduh sampai lebam.

HATI :

(sebelum kahwin)
H = hanya dikau yang daku cinta.
A = air paip pun manis macam gula.
T = tak jumpa sehari boleh jadi gila.
I = igauan indah tak terkira.

(selepas kahwin)
H = hantu jembalang lagi sempurna.
A = air mata jadi teman setia.
T = tempat mengadu dah tak ada.
I = ikut hati mati, ikut rasa binasa… nak buat
macam mana?

tetapi yg seharusnya ialah…

C-Cinta sebelum berkahwin, biar sederhana, tak melanggar batas agama
I-Impian rumahtangga dirancangkan bersama (bkn praktikal seblm nikah)
N-Nikah didahulukan pembuka gerbang kebahagiaan
T-Timang cahaya mata sbg pengikat kasih sayang
A-Amalkan perintah Tuhan, Insyaallah bahagia membawa ke syurga.

K-Kasih berputik dikala pertunangan diikat
A-Akad dilafaz cinta berbunga
S-Suami disanjung-tinggi
I-Isteri disayangi
H-Harumlah kasih sepanjang zaman

S-Sayangkan Isteri kasihkan suami
A-Ada masalah, dibincangkan bersama
Y-Yang ringan sama dijinjing, berat sama dipikul
A-Amalkan hidup bertoleransi
N-Nak kekalkan bahagia, itu usaha bersama
G-Gaduh sesekali tu perkara biasa

H-Hati suami mesti dijaga
A-Apatah lagi hati isteri yang mudah tersentuh
T-Tanggung-jawab dipikul bersama
I-Isteri tak makan hati, suamipun tak cari ganti

Wednesday, October 20, 2010

Pulau Mamutik, Sabah


Pandangan dari atas Pulau Mamutik

Pulau Mamutik berhampiran dengan resort dan merupakan pulau terkecil dalam kumpulan yang dikenali sebagai Taman Negara Tunku Abdul Rahman ini adalah pulau yang terdekat sekali dengan bandar raya Kota Kinabalu. Pulau ini dimiliki oleh sebuah keluarga kaya yang telah membina rumah di atas pulau ini. Pulau Mamutik mempunyai pemandangan yang cantik dan pokok-pokok yang malar hijau di sepanjang pantai dengan pasir yang memutih. Pulau Mamutik adalah tempat yang sangat sesuai untuk menenangkan fikiran selepas penat bekerja sepanjang minggu.


BENTUK MUKA BUMI YANG TERBENTUK DI PULAU MAMUTIK


a) Tanjung dan Teluk
Di Pulau Mamutik terdapatnya bentuk muka bumi tanjung dan juga teluk. Geomorfologi pinggir pantai ini terbentuk di kawasan pinggir pantai yang mempunyai struktur batuan yang keras dan lembut secara berselang seli. Susunan batuan ini pula menganjur ke arah lautan. Batuan lembut misalnya batu kapur dan pasir mudah mengalami hakisan berbanding batuan keras seperti batu granit. Kadar hakisan yang tinggi terhadap susunan batuan yang lembut akan menghasilkan lekukan-lekukan menghala ke bahagian dalam. Lekukan yang terhasil merupakan geomorfologi pinggir pantai yang dipanggil teluk. Manakala susunan batuan yang keras akan mengalami tindakan hakisan yang kurang dari ombak lalu batuan-batuan yang keras tadi akan membentuk tanjung yang menganjur ke bahagian laut. Ombak yang datang menghakis susunan batuan ini biasanya dikenali sebagai ombak pembinasa yang mana kuasa damparan ombak ini lemah berbanding dengan kuasa surutannya. Justeru itu, kebolehan ombak pembinasa menarik bahan-bahan ke arah laut adalah lebih tinggi berbanding keupayaannya untuk mengheret bahan-bahan ke atas pantai. Faktor geologi antara faktor yang mempengaruhi pembentukan tanjung dan teluk ini. Ia meliputi jenis dan ketahanan batuan serta struktur cerun tersebut. Pantai yang terbentuk oleh batuan yang keras tahan dihakis ombak dan pantai itu berbentuk tanjung. Pantai yang berbatuan lembut, mudah terhakis dan ia akan membentuk teluk.

b) Batu sisa
selain itu terdapat juga bentuk muka bumi batu sisa dikawasan pulau tersebut. Tindakan proses-proses hakisan terhadap batuan di sebuah tanjung menyebabkan pengunduran dua buah gua yang bersebelahan mungkin bertemu membentuk sebuah gerbang laut. Tindakan hakisan ombak yang berterusan terhadap bumbung gerbang laut akan menyebabkan bumbung runtuh meninggalkan bahagian dinding membentuk batu tunggul. Batu tunggul yang mengalami tindakan ombak pula akan terhakis dan membentuk batu sisa (sisa tunggul). Bentuk ini biasanya hanya dapat dilihat ketika air surut.

c) Pantai
Pantai merupakan timbunan bahan-bahan yang diangkut oleh ombak dan arus pesisir pantai. Bahan-bahan pemendapan terdiri daripada batu lada, batu kerikil dan pasir di pinggir pantai terutama yang terdapat di antara aras air pasang dan aras air surut.
Umumnya, pantai boleh ditakirfkan sebagai satu kawasan yang terletak antara tikas air pasang yang paling tinggi dengan tikas air surut yang paling rendah. Pembentukan pantai dipengaruhi oleh damparan ombak dan unduran ombak. Semasa kedua-dua proses ombak ini berlaku, bahan-bahan yang halus dan kasar terutama butiran pasir dan tinggalan kerang terlonggok di pantai. Damparan ombak yang kuat diikuti oleh unduran ombak yang lemah akan menghasilkan profil pantai yang bersaiz lebar. Pantai yang berbentuk curam dan sempit biasanya terhasil daripada tindakan ombak pembinasa manakala profil pantai yang landai dan lebar terhasil daripada tindakan ombak pembina.

Sunday, April 11, 2010

Keindahan Pantai


Pulau Langkawi, Malaysia

Pulau Langkawi terletak di barat laut Semenanjung Malaysia dan amat sesuai dijadikan sebagai kawasan pelancongan pinggir pantai kerana pantainya terlindung oleh Pulau Sumatera daripada tiupan angin monsun khususnya monsun barat daya. Pulau Langkawi terdiri daripada 103 gugusan pulau yang bersaiz kecil dan besar. Keluasan keseluruhan gugusan pulau tersebut ialah 466.5 kilometer persegi iaitu hampir tujuh peratus daripada keluasan negeri Kedah Darul Aman. Keadaan bentuk muka buminya adalah berbukit bukau dan kira-kira dua pertiga tanahnya curam dan hanya 35 % sahaja yang sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian. Pulau ini bukan sahaja terkenal dengan legenda Mahsuri tetapi juga kerana pantainya yang memutih dan anggun, airnya yang jernih dan ombaknya yang perlahan, amat sesuai untuk mandi manda dan kegiatan pantai yang lain. Terdapat beberapa buah tempat yang menarik di langkawi ialah seperti Pantai Tanjung Rhu, Tasik Dayang Bunting, Taman Laut Pulau Payar, Kuah, Makam Mahsuri, Kampung Air Hangat, Underwater World, Telaga Tujuh dan lain-lain.